Bahasa Portugis bukan sahaja menjadi bahasa rasmi di Portugal malahan di negara Brazil, Amerika Selatan. Bahasa Portugis merupakan bahasa kelapan besar yang dituturkan di dunia dan ketiga besar di Eropah. Antara negara yang penduduknya turut menuturkan bahasa Portugis ialah Angola, Mozambique, Guinea-Bissau dan Cabo Verde. Hal ini berlaku disebabkan Portugal merupakan antara kuasa penjajah Eropah yang giat meneroka laut dan meluaskan tanah jajahannya di dunia ini. Bahasa Portugis juga dituturkan oleh sebilangan penduduk di Malaysia khususnya komuniti berketurunan Portugis di negeri Melaka.
Sifat bahasa Melayu yang mudah menerima pengaruh bahasa asing dikenali sebagai sifat dinamik. Kedinamikan ini membolehkan bahasa Melayu terus berkembang sehingga kini. Peminjaman bahasa asing secara tidak langsung telah memperkayakan kosa kata bahasa Melayu. 
Peminjaman bahasa biasanya berlaku disebabkan oleh pertembungan budaya atau tamadun. Pertembungan terbabit boleh berlaku melalui pelbagai cara antaranya ialah kegiatan perniagaan dan perdagangan, peperangan dan penjajahan, penghijrahan, persahabatan, pendidikan dan penyebaran agama. Dalam hal ini, pengaruh bahasa Portugis terhadap bahasa Melayu adalah disebabkan oleh peperangan dan penjajahan.
Pertembungan budaya yang membabitkan penyebaran agama tidak begitu memainkan peranan yang besar dalam mempengaruhi bahasa Melayu. Hal ini kerana perkataan dan konsep berkaitan agama yang berkait rapat dengan orang Melayu seperti neraka, syurga, pahala, dosa, halal, haram, nabi dan rasul kebanyakannya berasal daripada bahasa Sanskrit dan Arab.
Walaupun wujud kata pinjaman Portugis yang berkaitan agama seperti igreja (gereja) dan padre (paderi) namun ia tidak berkaitan dengan orang Melayu yang majoritinya penganut agama Islam. Perkataan terbabit dipinjam disebabkan wujudnya komuniti beragama Kristian di Melaka selepas tahun 1511.
Komuniti Kristian pertama terbentuk di Melaka apabila lelaki berbangsa Portugis mengahwini perempuan berstatus hamba atau anak negeri yang sudah memeluk agama Kristian. Anak negeri ini berkemungkinan orang Jawa atau Batak atau kaum selain Melayu yang bukan beragama Islam. 
Bilangan yang memeluk agama Kristian hanyalah kecil. Hal ini kerana pada tahun 1532 hanya 75 orang sahaja yang memeluk agama Kristian. Menjelang awal abad ke-17, bilangan terbabit bertambah sehingga 7 000 orang. Daripada jumlah tersebut, 2 200 orang adalah bermazhab Katolik. Oleh sebab itu, bahasa Melayu memerlukan perkataan baharu bagi menjelaskan kewujudan komuniti Kristian terbabit yang ternyata berbeza agama dan budaya dengan orang tempatan Melaka khususnya kaum Melayu.
Penjajahan Portugis di negeri Melaka selama 130 tahun yang bermula pada tahun 1511 sehingga 1641 membolehkan bahasa Portugis mempengaruhi bahasa Melayu dalam bidang seperti pertahanan, jawatan dan pangkat, perkakas dan bahagian rumah serta makanan.
Sepanjang tempoh terbabit, dianggarkan antara 400 hingga 600 kata pinjaman Portugis terdapat dalam bahasa Melayu. Penyebaran kata pinjaman Portugis turut disumbang oleh penduduk Melaka yang bukan Melayu. Hal ini kerana masyarakat pelbagai kaum di Melaka masih berinteraksi menggunakan bahasa Melayu walaupun dijajah oleh Portugis. Penyebaran ini akhirnya telah menambahkan lagi perbendaharaan kata bahasa Melayu.
Prof. Emeritus Datuk Dr. Ahmat Adam dan Dr. Tan Raan Haan dalam satu diskusi bertajuk “Pengaruh Portugis dalam Perkembangan Bahasa dan Sastera Melayu” yang dianjurkan oleh Melaka In Fact pada 7 Mac 2020 telah menyenaraikan kata pinjaman Portugis dalam bahasa Melayu yang melibatkan pelbagai bidang. Kata pinjaman terbabit ialah:
 Bahasa Portugis
 Bahasa Melayu
 * Alfinete
 Peniti
 * Armario
 Almari
 * Avental
 Bantal
 * Baluarte
 Baluarti
 * Banco
 Bangku
 * Bandeira
 Bendera
 * Batel
 Perahu Batel
 * Bateria
 Berteriak
 * Bico
 Biku
 * Boiao
 Buyung
 * Bolo
 Bolu
 * Butao
 Butang
 * Caca atau cacar
 Kejar
 * Camisa
 Kemeja
 * Capitao
 Kapitan
 * Caracao atau coracao
 Kerongsang
 * Careta
 Kereta
 * Charuto
 Cerutu
 * Chitao
 Cit
 * Couves
 Kubis
 * Cravo
 Kerabu
 * Dali
 Dari
 * Domingo
 Minggu
 * Escolar
 Sekolah
 * Espingarda
 Istinggar
 * Falso
 Palsu
 * Fita
 Pita
 * Fuzil
 Bedil
 * Gago
 Gagau
 * Gancho
 Gancu
 * Garfo
 Garpu
 * Geluso
 Gelojoh
 * Gornador atau governador
 Gabenor
 * Guta
 Getah
 * Inteiro
 Antero
 * Janela
 Jendela
 * Lancao
 Lancang
 * Lancar
 Lancar
 * Lampiao
 Lampu
 * Leilao
 Lelong
 * Mando
 Mandur
 * Manteiga
 Mentega
 * Martelo
 Mertul
 * Masque
 Meski [pun]
 * Merinyu
 Meirinho
 * Mestre
 Mesteri
 * Mesa
 Meja
 * Nabo
 Labu
 * Padre
 Paderi
 * Pena
 Pena
 * Perada
 Perada
 * Renda
 Renda
 * Roda
 Roda
 * Sabao
 Sabun
 * Sale
 Salai
 * Sapatao
 Sepatu
 * Tanque
 Tangki
 * Tanto
 Tentu
 * Tempo
 Tempoh
 * Tinta
 Tinta
 * Tiras
 Tiras
 * Toalha
 Tuala
 * Trigo
 Terigu
 * Trocar
 Tukar
 * Pelouro
 Peluru
 * Passear
 Bersiar
 * Penar
 Pinar
 * Queijo
 Keju
 * Velo
 Bulu
 * Veludo
 Beledu
 * Veranda
 Beranda
 * Viola
 Biola
 * Vizier
 Wizurai
Selain itu, terdapat juga beberapa lagi kata pinjaman Portugis dalam bahasa Melayu. Kata pinjaman terbabit adalah seperti berikut:
 Bahasa Portugis
 Bahasa Melayu
 Maksud
 * Pao
 Paung
 Sejenis roti kering.
 * Bordo
 Bordu
 Bibir perahu, dinding pada tepi perahu.
 * Chapeu
 Cepiau
 Topi yang birainya berlipat dua dan ada yang berlipat tiga.
 * Chita
 Cita
 Sejenis kain daripada kapas untuk dibuat pakaian.
 * Carraca
 Kerakah
 Sejenis kapal (zaman dahulu).
 * Corno
 Kernu
 Sejenis bekas daripada tanduk tempat ditaruh ubat bedil.
 * Dado
 Dadu
 Sejenis kiub yang bertanda titik (dari satu hingga enam) pada kesemua permukaannya.
 * Faccioniaria
 Pakenira
 Tuan.
 * Festa
 Pesta
 Majlis bersuka ria dengan mengadakan makan minum, tari-menari dan lain-lain; majlis keramaian utk bersuka ria; perayaan.
 * Fito
 Petam
 Sejenis penutup atau pembalut dahi pengantin.
 * Fusta
 Fusta
 Sejenis perahu pada zaman dahulu.
 * Gale
 Ghali atau Gali
 Sejenis kapal yang digerakkan oleh dayung atau layar yang digunakan pada zaman dahulu atau pada zaman pertengahan sebagai kapal perang atau kapal dagang.
 * Limao
 Limau
 –
 * Ordi
 Wardi
 Perintah.
 * Pisar
 Kisar
 –
 * Saco
 Saku
 Kocek pada baju, seluar dan lain-lain.
 * Senhor
 Senyur
 Kata sapaan atau panggilan untuk orang lelaki yang bererti tuan atau encik.
 * Soldadu
 Soldadu
 Askar.
 * Tambor
 Tambur
 Sejenis alat muzik (Eropah) yang dipukul, dram, genderang.
Penjajahan Portugis selama 130 tahun di Melaka turut memberikan kesan kepada bahasa Portugis. Hal ini kerana terdapat beberapa perkataan bahasa Melayu telah mempengaruhi atau meresap masuk ke dalam perbendaharaan kata bahasa Portugis. Antara perkataan terbabit ialah: 
 Bahasa Melayu
 Bahasa Portugis
 * Amok
 Amouco
 * Balai
 Baileu
 * Baju
 Baju
 * Bende
 Bende
 * Kalulus
 Caluluz
 * Durian
 Duriao
 * Dusun
 Ducao
 * Gantang
 Ganta
 * Ganas
 Ganicos
 * Jambu
 Jambo
 * Lipat
 Lipa
 * Nuri
 Nore
 * Penjajab
 Pangajao
 * Sembah
 Sumbaia
 * Tuak
 Tuaca
 * Berniaga
 Veniaga
Terdapat juga perkataan bahasa Melayu dalam perbendaharaan kata bahasa Portugis yang berunsur prejudis seperti perkataan bandarra yang bermaksud kaki lepak atau pelahu dan bandaheira bermaksud perangai jelek. Kedua-dua perkataan terbabit berasal daripada perkataan bendahara.
Pihak Portugis mengambil perkataan bendahara bagi memberi maksud yang buruk disebabkan pengalaman Diego Lopes de Sequeira dengan Bendahara Tun Mutahir pada tahun 1509.
Menurut sejarah, Sultan Mahmud Shah dan Bendahara Tun Mutahir bersetuju untuk membunuh Diego Lopes de Sequeira dan pengikut-pengikutnya dalam satu majlis makan malam selepas mendengar kata-kata para pedagang Islam dari Jawa dan Gujerat mengenai niat sebenar Portugis yang mahu menguasai perdagangan dan kerajaan Melaka.
Diego Lopes de Sequeira berjaya melarikan diri dan menuju ke Goa, India selepas diberitahu oleh seorang wanita Parsi mengenai rancangan sultan dan bendahara. Walau bagaimanapun, Rui de Araujo dan 19 anak kapal Portugis telah ditahan.
Bagi pihak Portugis, tindakan Bendahara Tun Mutahir dan Sultan Mahmud Shah terbabit sebagai perbuatan khianat kerana cuba mencetuskan konflik dengan pihak Portugis yang mahu datang berdagang. Pengalaman buruk terbabit telah menyebabkan perkataan bendahara diberikan maksud yang negatif dalam bahasa Portugis.
Wujud juga polemik kata pinjaman bahasa Portugis dalam bahasa Melayu. Hal ini berlaku apabila beberapa kata bahasa Portugis yang boleh dipertikaikan jalur pinjamannya. Sebagai contoh, kata mangga (BM) yang dipinjam daripada bahasa Portugis, iaitu manga. Menurut Nathesan (2015: 143), kata manga (BP) berasal daripada bahasa Tamil, iaitu manggai. Justeru itu, kata manga itu sendiri bukanlah berasal usul daripada bahasa Portugis. 
Begitu juga dengan kata lampu (BM) yang dikatakan bukan berasal daripada kata bahasa Portugis, iaitu lampada. Sebaliknya bahasa Belanda, iaitu lamp yang sama dengan bahasa Inggeris. Menurut Nathesan (2015: 144), berkemungkinan kata lampada (BP) berasal daripada bahasa Jerman.
Beliau turut memberikan kesimpulan bahawa kata lampu (BM) lebih tepat berasal daripada bahasa Portugis berbanding bahasa Belanda, memandangkan Portugal lebih awal datang ke Asia Tenggara, berinteraksi dengan orang tempatan dan melakukan penaklukkan berbanding Belanda yang datang kemudian.
Kata-kata pinjaman dibawah turut dipertikaikan jalur peminjamannya sama ada berasal daripada bahasa Portugis atau bahasa Inggeris.
 Bahasa Melayu
 Bahasa Portugis
 Bahasa Inggeris
 Rak
 Araca
 Rack
 Bank
 Banco
 Bank
 Sup
 Sopa
 Sup
Jawapan bagi masalah jalur peminjaman harus dirujuk kembali sejarah penjajahan kuasa-kuasa Barat. Portugal merupakan kuasa penjajah Barat terawal yang tiba di Asia Tenggara. Maka sudah tentu kata-kata asing Barat yang wujud dalam bahasa Melayu adalah berasal dari bahasa Portugis sebelum pengaruh Belanda dan Inggeris yang lebih kemudian. Namun asal usul kata bahasa Portugis yang sudah sedia wujud dalam bahasa tersebut masih boleh dipertikai. Bahasa Portugis juga meminjam kata-kata dari bahasa lain di Eropah seperti Perancis dan Jerman, malahan dari benua Asia seperti bahasa Tamil dan Melayu.
Secara kesimpulan, pengaruh bahasa Portugis telah memperkayakan lagi perbendaharaan kata dalam bahasa Melayu. Peminjaman kata ini amat penting bagi mengungkapkan perkara atau bidang baharu yang selama ini tidak ada dalam bahasa Melayu. Walaupun kata pinjaman bahasa Portugis tidak begitu banyak dalam bahasa Melayu, namun bahasa terbabit tetap telah memberikan sumbangan yang signifikan terhadap perkembangan bahasa Melayu.
RUJUKAN: 
Ahmat Adam & Tan Raan Haan. 2020. Pengaruh Portugis dalam perkembangan bahasa dan sastera Melayu. Anjuran Melaka In Fact. Melaka, 7 Mac.
Mohd Nor Azan bin Abdullah & Mohd Yusof bin Abdullah. 2018. Kosa kata Indo-Eropah, Semitik, Sino-Tibet dan Darvidien dalam internasionalisasi bahasa Melayu sebagai bahasa utama dunia di Alam Malaynesia. Jurnal Kesidang 3: 23-32.
Nathesan. 2015. Etimologi Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Artikel dikirimkan oleh Zulfiqar bin Mohd Yusof untuk The Patriots. 
http://dlvr.it/Rnq2jL
 
No comments:
Post a Comment